Masihkah ada rasa belas kasihan di kalangan mahasiswa dewasa ini? Kelmarin hampir setiap raut wajah mahasiswa/i yang sempat, diimbas cuba untuk mencari riak wajah yang merenung memikirkan nasib masa lalu dan juga masa depan anak-anak yang yatim, susah dan duka. Apakah anak-anak ini dijemput oleh mahasiswa untuk bersama-sama berkongsi kasih dan penghayatan ramadhan atau semata-mata kerana melaksanakan sebuah lagi program CSR yang telah direncana oleh seorang aktivis PR? Sebahagian jawapannya terurai melalui raut-raut wajah yang sempat diimbas itu.
Menyaksikan kesungguhan mahasiswa/i yang pagi-pagi lagi (malah ada yang sejak dari sabtu lagi) sudah berada di kampus bagi menyediakan persiapan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim dari Rumah Amal Limpahan Kasih di Puchong membangkitkan semangat dan rasa bangga. Siswa adam dan hawa berpadu tenaga mengerjakan persiapan yang seharusnya ...dan usik-mengusik di antara mereka pun manis kedengarannya...
Paling membanggakan apabila melihat pemimpin-pemimpin Persatuan Insan dan MPP turun ke padang melihat dan bersama-sama dengan anak-anak buah mereka mengerjakan persiapan. Pada sebahagian ahli-ahli pimpinan lain tergambar jelas keamanahan, kesetiaan dan kebertanggungjawaban. Tidak dinafi masih ada juga yang terkeliru dan harus dipandu. Selesai bicara dengan Prof Hj Zainal TNC HEP tentang 10% mahasiswa... kupohon tuhan melindungiku dari terburu-buru...
Meriah kelihatan mahasiswa/i di kampus shah alam hari ini - yang senyum dan riang meladeni anak-anak yatim, yang mundar mandir dengan tugasan masing-masing, yang lelaki segak bak laksamana hang tuah (yang bagaikan pengantin tunggu diarak pun ada!) dan yang siswi berwarna-warni dan manis-manis semuanya. Laungan azan oleh Wan Amal Firdaus kedengaran amat syahdu menandakan tiba waktu berbuka. Selesai solat maghrib semua tetamu - mahasiswa, anak-anak yatim, jemputan dan warga kampus yang hadir menjamu hidangan yang tersedia. Benarlah apabila makan bersama-sama seperti dalam sebuah keluarga yang sangat besar amat terasa bahagianya.
Kepada semua pihak yang telah berusaha dan menyumbang dalam apa jua cara untuk kejayaan program tersebut, firman Allah swt yang bermaksud :
"Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh."
"Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertakwa."
No comments:
Post a Comment